Pendahuluan

Demam pilihanraya kampus akhirnya sampai ke kemuncaknya setelah selesainya proses pengundian dan penjumlahan undi semalam. Akhirnya, debaran untuk mengetahui siapakah yang terus memegang tampuk kepimpinan kampus juga terlerai sudah. Pro-Mahasiswa UPM mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang telah mendapat kemenangan dan kepercayaan mahasiswa. Buat yang tidak menang, teruskan bersatu dan sama-sama mengembleng tenaga ke arah meningkatkan prestasi diri dan mengharumkan nama universiti sebagai kampus lembah ilmu yang berprestij di dalam dan luar negara.

Kenyataan Pro Mahasiswa UPM
1. Pro-mahasiswa UPM juga mengucapkan syabas dan terima kasih kepada jawatankuasa yang melaksanakan pilihanraya kampus UPM khususnya Naib Canselor Universiti, Dato’ Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi yang telah membuka ruang baru ke arah menghidupkan kembali demokrasi kampus seterusnya memberi ruang kepada proses pemilihan untuk berjalan dengan adil dan lancar.
2. Keputusan pilihanraya kampus 2012/2013 menyaksikan bahawa calon daripada Pro-Mahasiswa UPM telah mendominasi 7 daripada 11 kerusi UMUM yang dipertandingkan. Meraikan semangat dan budaya politik baru yang lebih matang, Pro-Mahasiswa UPM sebelum ini tidak mengumumkan secara rasmi calon daripada Pro-Mahasiswa yang bertanding supaya proses pemilihan dan penilaian mahasiswa berlaku secara lebih adil dan saksama tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kumpulan tertentu. Kemenangan ini juga membuktikan, Pro-Mahasiswa UPM terus sukses dalam melahirkan mahasiswa yang berkaliber dan mampu membawa agenda mahasiswa kea rah yang lebih baik.3. Pro-Mahasiswa UPM mengharapkan, kerajaan mahasiswa yang terbentuk hasil mandat seluruh mahasiswa UPM kali ini, mampu memjaga kebajikan seluruh mahasiswa di samping menaikkan nama universiti sebagai kampus hijau yang berprestij. Pro-Mahasiswa UPM juga menggesa agar calon-calon daripada Pro Mahasiswa yang bertanding kali ini agar menumpukan tugas menjaga kebajikan, keselamatan dan meningkatkan mutu akademik mahasiswa atas amanah dan mandate yang diterima. Pro-Mahasiswa UPM menggesa agar urusan pentadbiran kerajaan mahasiswa kali ini diserahkan sebulatnya kepada mahasiswa yang menang. Pro-Mahasiswa UPM juga dengan ini mengisytiharkan bahawa tidak akan menggunakan calon Pro-Mahasiswa UPM yang telah memenangi kerusi untuk kepentingan Pro-Mahasiswa UPM dan bersedia untuk mengkritik calon Pro-Mahasiswa UPM yang tidak bekerja dan menjaga kebajikan mahasiswa.4. Walaubagaimanapun, pro-mahasiswa akan terus menjadi agen semak imbang kepada kerajaan mahasiswa yang dibentuk dan pentadbiran universiti bagi memastikan agar suara mahasiswa di kampus terus didengari dan hak dan kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian.

Cadangan Dan Penambahbaikan

Berhubung kerajaan mahasiswa yang baru dibentuk, Pro Mahasiswa UPM menggesa agar beberapa penambahbaikan segera diadakan.

1. Penstrukturan semua organisasi MPP. Mengambil contoh system pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia yang terdiri daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri, Pro-M UPM mencadangkan agar system ini diwujudkan di kampus UPM. Ini bermakna, calon yang memenangi kerusi umum akan menganggotai organisasi MPP di peringkat universiti manakala calon yang memenangi kerusi fakulti akan membentuk jawatankuasa khas di peringkat fakulti masing-masing. Pembahagian ini perlu dibuat bagi membolehkan pertubuhan mahasiswa di peringkat fakulti dapat dimaksimakan peranannya seterusnya membentuk suasana universiti yang lebih ilmiah dan akademik.

2. Pemberian autonomi sepenuhnya kepada kerajaan mahasiswa yang dibentuk tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak samada di dalam mahupun luar kampus. Autonomi yang diberikan ini mampu membentuk kepimpinan mahasiswa yang mampu membawa suara dan memperjuangkan hak mahasiswa secara lebih adil dan telus.

3. Pro-Mahasiswa UPM menggesa agar mandat yang diberikan oleh majoriti daripada keseluruhan mahasiswa UPM dihormati dengan memberikan kuasa dan memfungsikan kembali calon yang menang di kerusi umum sebagai kepimpinan tertinggi dalam kerajaan mahasiswa yang dibentuk.

Penutup

Pro-Mahasiswa UPM berharap agar semua pihak terus bersatu dan bersama mengembleng tenaga samada di peringkat mahasiswa mahupun pentadbiran universiti bagi memastikan hak dan kebajikan mahasiswa dijaga dengan sebaiknya di samping mewujudkan suasana kebebasan berakademik yang lebih meluas bagi membentuk suasana intelek dan lembah ilmu itu terus terpelihara.

Sekian, terima kasih

Oleh:
Pro-Mahasiswa UPM

Advertisements