PILIHANRAYA KAMPUS UPM

Signifikan kepada terbentuknya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) boleh diumpamakan seperti kabinet parlimen mahasiswa.  MPP yang dianggotai oleh mahasiswa  yang dipilih melalui sistem pemilihan atau lebih sinonim dengan pilihanraya kampus. Melihat kepada betapa  peri pentingnya kabinet MPP di kampus, maka tidak hairan jika sebahagian pelajar tinggi kecenderungannya untuk terlibat dalam pilihanraya kampus.

Hari ini, semboyan pilihanraya kampus menyaksikan pertembungan idea dan semangat antara gerakan mahasiswa yang berjiwa aktivis dengan kumpulan pelajar yang bernaung di bawah pentadbiran universiti. Secara lebih jelasnya, kedua-dua kumpulan tersebut dikenali dengan Pro-Mahasiswa dan Aspirasi  .

Pertembungan semakin panas berlaku ekoran pendedahan dokumen sulit oleh Pro-Mahasiswa Nasional berhubung campurtangan terus daripada Jabatan Perdana Menteri dalam satu pelan Barisan Nasional menawan 20 universiti awam di seluruh negara yang dinamakan OPS 2020. Dalam Ops tersebut, antara yang didedahkan melalui media adalah surat perlantikan sulit Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) di beberapa buah kampus yang bertindak sebagai pelaksana agenda yang dirancang untuk kampus tertentu.

Ekoran pendedahan Ops tersebut, beberapa kampus mengalami pertembungan nyata dan sengit antara Pro-Mahasiswa dan Aspirasi. Apa yang menariknya, pertembungan jelas itu bukan menonjolkan perkelahian sesama mahasiswa, sebaliknya, antara mahasiswa dengan pihak pentadbiran, atau antara pihak misteri dengan pihak pentadbiran. Minggu ini sahaja, di Pro-Mahasiswa UTHM mendedahkan TNC HEPA UTHM, Prof Amir Hashim mengugut Jawatankuasa Kolej Kediaman supaya menyokong UMNO/BN dan memastikan Aspirasi menang dalam pilihanraya kampus.

Di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pula, berlaku isu surat layang yang kononnya surat daripada Presiden Umno kepada rektor UIAM, Prof Zaleha Kamaruddin mengenai perlantikan Datuk Professor Musa Hitam sebagai rektor baru UIA untuk memastikan kemenangan Aspirasi. Surat layang ini menimbulkan banyak kemungkinan dan tidak pasti dilakukan oleh pihak mana.

Dalam sengit menjelang PRK di kampus lain, berbeza pula dengan PRK Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ini. Dari sudut ‘mood’ berpartisipasi secara berkumpulan kelihatan suram pada Pro-Mahasiswa. Sementara itu, Aspirasi dilihat lebih menonjolkan kumpulan mereka walaupun tidak pernah mengumumkan pimpinan organisasi mereka. Kita boleh menilai dalam penyampaian mereka di laman bukan rasmi Aspirasi yang terus berkempen agar tidak mengundi calon Pro-Mahasiswa walaupun Pro-Mahasiswa tidak pernah isytihar siapa calon mereka. ‘Cybertroopers’ mereka juga telah mengumumkan awal-awal lagi kemenangan calon mereka sebelum hari mengundi lagi.

Pro-Mahasiswa UPM yang sekadar memperkenalkan Pengerusi mereka  pula lesu dalam menyampaikan maklumat termasuk laman rasmi mereka juga tidak aktif. Mereka juga tidak lagi menganjurkan demonstrasi dengan melaungkan tuntutan tertentu seperti tahun sebelumnya. Jika masih ingat, tahun lepas Pro-Mahasiswa pernah berkonvoi motorsikal ke kolej-kolej dan sampaikan buah tangan sempena Tahun Baru Cina. Aktiviti berkelompok seperti itu tiada lagi sebaliknya Aman Kampus daripada Alumni Aspirasi pula yang mengadakan konvoi ke kolej-kolej sebagai kempen menolak Pro-Mahasiswa.

Ini berdasarkan pemerhatian ke atas kedua-dua kumpulan di UPM ini. Apakah sebenarnya yang berlaku kepada Aspirasi dan Pro-Mahasiswa kali ini? Adakah semangat aktivisme Pro-Mahasiswa sangat anjal kepada tekanan yang dikenakan oleh BHEP dan Aspirasi? Adakah Aspirasi pula merasakan mereka perlu mengisytihar mereka sebagai Aspirasi untuk menentang Pro-Mahasiswa? Tahun-tahun sebelum ini, Aspirasi UPM tidak pernah mengaku mereka bertanding secara berkumpulan dan memperkenalkan calon mereka secara nyata di bawah tiket Aspirasi dalam PRK.

Pilihanraya Kampus UPM Sebelum Tragedi Pecah-Pintu, 23 Feb 2011

23 Feb 2012. Inilah peristiwa yang memberi banyak pengajaran kepada Aspirasi, Pro-Mahasiswa dan warga UPM keseluruhannya dan masyarakat amnya. Pintu kaca yang menjadi laluan utama ke pejabat pentadbiran UPM pecah akibat tolak menolak antara mahasiswa yang menganggap mereka teraniaya dengan petugas keselamatan. Mahasiswa yang terlibat terdiri daripada pendokong dan penyokong Pro-Mahasiswa UPM. Mahasiswa dari kampus lain pun ada ketika itu.

Menyatakan bahawa Pro-Mahasiswa merempuh pintu bangunan pentadbiran sebenarnya kurang sesuai digunakan. Kita perlu adil menilai peristiwa ini dengan menilai perkara sebenar. Ini kerana mengikut penjelasan oleh mereka yang berada di situ, mereka telah meminta pihak keselamatan membuka pintu untuk mereka masuk. Sebelum pintu ditolak, kiraan sehingga dua puluh dilaungkan sebagai amaran jika pihak keselamatan enggan membuka pintu. Soalnya, mengapa sampai perlu mengira sehingga dua puluh untuk mereka masuk? Insiden tolak menolak pintu dari dua arah iaitu dari arah luar dan dalam. Tidak jelas siapa punca pintu kaca tersebut pecah kerana pintu tersebut bukan dirempuh sebaliknya ditolak dari arah bertentangan, daya yang kuat menyebabkan pintu itu pecah. Kita mesti adil menilai.

Tragedi berdarah ini berlaku sehari selepas proses pemilihan ekoran pembatalan kemenangan calon  Pro-Mahasiswa kerana bertanding secara berkumpulan menggunakan alat elektronik. Mereka yang dibatalkan pencalonan dan kemenangan mendapat surat yang menyatakan pembatalan pada malam tragedi tersebut. Pada malam itu juga mereka memohon penjelasan daripada TNC HEPA, Prof Dr Fauzi Ramlan (belum bergelar Datuk) dan mahu berbincang dengan Prof Dr Fauzi. Prof Dr. Fauzi ada menjelaskan sebab pembatalan setelah seorang calon Aspirasi ketika itu, Khairulfadzreen membuat bantahan pencalonan mereka. Calon-calon Pro-Mahasiswa ini tidak mudah berpuas hati dan menuntut hak mereka dengan menegaskan peraturan dan tindakan tersebut tidak munasabah.

Keadaan mula menjadi panas apabila sehingga pagi mereka berkampung di bangunan pentadbiran, dan mendapat maklumat bahawa bantahan ke atas mereka semua dibuat dengan RM100.00. Mengikut ketetapan, setiap bantahan ke atas calon sepatutnya dikenakan cas RM100.00 seorang. Sebelas calon yang dibantah kemenangan sepatutnya perlu dibayar RM1,100.00.

Suasana makin getir apabila TNC HEPA pada pagi 23 Februari masih enggan berjumpa mahasiswa yang memenuhi lobi luar bangunan pentadbiran. Sekitar 100 orang pada awalnya terus menunggu. Namun, lewat pagi itu juga, Pro-Mahasiswa boleh menarik nafas lega sementara apabila Prof Dr Fauzi memberitahu pembatalan tersebut ditarik semula. Kurang daripada sejam, keputusan itu berubah, pembatalan diteruskan. Inilah punca mahasiswa ketika itu berang apabila TNC HEPA gagal bersemuka dengan mereka menjelaskan hal yang sebenar.

Diringkaskan rentetan, 18 jam mahasiswa berkampung di hadapan bangunan pentadbiran universiti tanpa sebarang jawapan balas oleh Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan.

Syed Syafiq Syed Hasyim, Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM 2010/2011 ketika itu menyifatkan pilihanraya kampus pada tahun tersebut merupakan pilihanraya paling buruk dalam sejarah pilihanraya kampus UPM. Ekoran pelbagai diskriminasi terhadap calon yang bertanding di atas tiket Pro-Mahasiswa. Pelbagai peraturan yang menafikan hak demokrasi mahasiswa seperti tidak boleh bertanding secara berkumpulan, poster kempen hanya menggunakan poster khas yang dikeluarkan oleh JKP, tempoh kempen agak pendek dan pada hari cuti, mengadakan sudut pidato hanya mengikut jadual yang disusun JKP sahaja dan pelbagai peraturan lagi termasuklah penggunaan sistem e-undi. Disamping itu, wujudnya diskriminasi terhadap calon-calon bukan tajaan BHEP.

Peraturan sahaja dianggap sebagai diskriminasi bagi Pro-Mahasiswa, begitu juga perlaksanaan yang membebankan pada tanggapan mereka. Antaranya, tempoh bantahan dan rayuan selepas penamaan calon berubah-ubah hingga terpaksa bersengkang mata tidak tidur sepanjang malam. Peraturan sangat fleksibel ketika itu merugikan masa dan tenaga mahasiswa yang terlibat. Berurusan di luar kawasan kolej pada waktu tengah pagi menjelang Subuh, itulah ‘office hour’ semasa musim pilihanraya kampus. Bagi staf yang bertugas, tidak mengapalah mereka diberi elaun ‘overtime’ dan bonus-bonus lain. Ini ulasan sebagai mahasiswa, bukan mewakili mana-mana kumpulan. Sekadar menyelami perasaan dan pengalaman mahasiswa yang terlibat ketika itu.

Pasca Pecah-Pintu; Merintis Rentak Demokrasi Baru

Tragedi 23 Februari 2011, mengikut laporan media ketika itu melaporkan tragedi tersebut merupakan tindakan ganas Pro-Mahasiswa UPM yang terlalu menurut emosi. Kita boleh bersetuju dengan itu kerana kita tidak mengalami sendiri seperti kebangkitan rakyat di Timur Tengah, banyak kisah di sebaliknya yang kita tidak tahu. Penuh pro dan kontra. Sejarah lepas kadang-kadang manis dikenang, namun pahit jika memberi kesan perasaan tidak elok pada kita. Apa pun, secara tidak sedar, tragedi bersejarah ini hakikatnya melakar sinar baru ke arah masa depan demokrasi yang lebih subur dan segar di kampus UPM. Walaupun pemulihan demokrasi ini masih belum berlaku secara menyeluruh, namun langkah ini dilihat sebagai satu tindakan awal pentadbiran universiti dalam memastikan hak mahasiswa ditunaikan.

Kita boleh memuji dan berbangga dengan Naib Canselor UPM kini, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi yang melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam pilihanraya kampus. Walaupun belum terbukti sepenuhnya pembaharuan tersebut, namun iltizam beliau mengambil pengajaran peristiwa lepas mampu mengubah suasana pilihanraya. Bermakna ini bukanlah retorik semata, tapi adalah hampir menjurus kepada realiti yang nyata.

Bezanya kali ini, JKP yang bernaung di bawah beliau menetapkan peraturan yang boleh dianggap munasabah walaupun belum tentu bersih dari penyelewengan. Bayangkan jika peraturan pun tidak wajar, bagaimana pula pilihanraya telus dapat terlaksana. Berikut antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam peraturan.

Pemilihan MPP 2012-2013; Menuju Pendewasaan Demokrasi Kampus

Pro Mahasiswa UPM menyambut baik pembaharuan dan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Naib Canselor UPM kerana di sana wujudnya usaha yang bersungguh dalam usaha untuk menjalankan demokrasi peringkat kampus yang lebih sehat dan bersih berbanding dengan politik kotor yang telah menconteng arang kepada pilihanraya tahun yang sebelumnya. Secara jelas, bersama dengan perbezaan tampuk pentadbiran dan pengurusan universiti telah berjaya memacu ke arah kematangan dalam mempraktikkan budaya politik  demokrasi campus yang lebih sihat. Segala bentuk perubahan daripada peristiwa fasa pra Pecah Pintu kepada pasca Pecah Pintu, adalah satu langkah yang bijak yang telah dimulakan di mana tidak lain dan tidak bukan langkah yang bijak dalam usaha untuk memuaskan hati dalam kalangan mahasiswa dan peringkat pengurusan univesiti secara umumnya.

2012

2011

Tempoh kempen selama 5 hari Tempoh kempen 2 hari dan pada hujung minggu
Dibenarkan berkempen secara elektronik dan bercetak Dibenarkan berkempen secara bercetak sahaja
Calon dibenarkan bertanding secara individu atau berkumpulan namun hanya di bawah persatuan/pertubuhan berdaftar di UPM Calon bertanding hanya secara individu dan tidak boleh berkumpulan.
Semua ketua jawatankuasa terdiri daripada pegawai berautoriti dan dipercayai (tidak termasuk ketua Jawatankuasa Induk) Terdapat ketua jawatankuasa terdiri daripada pegawai yang diragui (termasuk ketua Jawatankuasa Induk)

Pemilihan MPP 2012-2013; Pendirian Pro-Mahasiswa UPM

Berbeza dengan apa yang berlaku dalam Pro Mahasiswa  pada perinngkat Nasional yang kelihatan semakin agresif dan terkdepan khususnya dalam lembah Klang ini, Pro Mahasiswa UPM mengambil satu langkah yang berbeza. Sementara Pro-Mahasiswa UPM tidak menentang akan apa yang sedang Pro Mahasiswa peringkat Nasional sedang perjuangkan, Pro-Mahasiswa UPM mengambil langkah bijak yang dilihat adalah lebih sesuai dengan keadaan dan kondisi di bumi UPM ini, iaitu dengan mengubah sifat daripada demonstrasi jalanan, merubah budaya menghentam dan terus mengecam pihak aspirasi mahu pun BHEP, kepada mengambil jalan tengah atau pun dalam konteks mudah yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu mendekati langkah wasathiyyah. Peringkat Pro-Mahasiswa UPM akan bertindak sebagai pemerhati dan pemantau kepada gerak kerja MPP khususnya, tanpa mengambil sifat berat kepada sebahagian MPP sahaja, dengan kerjasama daripada pihak kelab dan persatuan yang bergiat aktif di UPM. Diharapkan agar kelab dan persatuan tidak terlalu obses dalam berpatisipasi dalam kerangka kelab dan persatuan mereka semata.

Mereka sewajarnya turut memainkan peranan dalam usaha untuk menjadi third force kepada MPP, serta membantu mengembalikan semula maruah dan pengaruh MPP di UPM yang telah sekian lama kelihatan suram dan lesu. Manakala BHEP tidak lagi perlu menjadi pencatur dan perancang kepada MPP lagi, biarkan MPP bertindak secara matang dengan adanya kewujudan kuasa ketiga daripada daripada Pro-Mahasiswa UPM serta kelab dan persatuan. Sewajarnya adalah BHEP menjadi pemudah cara dalam usaha untuk membantu  melancarkan dan memudahkan kerja MPP. Di harapkan dengan kombinasi yang harmoni antara Pro-Mahasiswa, MPP, kelab dan persatuan serta BHEP ini akan menyuburkan lagi budaya demokrasi dan politik yang subur di UPM kelak.

Pemilihan MPP 2012-2013; Cadangan dan Penambahbaikkan

Walaupun satu anjakan paradigma yang kelihatan yang positif dalam pelaksanaan PRK kali ini, namun ada beberapa lagi proses yang pihak Pro-Mahasiswa UPM rasakan perlu di ubah untuk terus menyuburkan budaya politik dan demokrasi kampus yang lebih matang pada sesi PRK yang akan datang. Pertamanya, Pro-Mahasiswa UPM menyambut baik tindakan NC UPM yang mengumumkan tarikh PRK yang hampir sebulan sebelum berlakunya PRK, dan berdasarkan pemerhatian UPM adalah kampus terawal yang menyatakan secara rasmi perlakasanaan PRK berbanding uinversiti lain. Cumanya, sedikit terkilan kerana pengumuman ini adalah di buat ketika mahasiswa semasa masih belum lagi mendaftar masuk ke dalam campus serta ketika mana proses pendaftaran subjek masih lagi sedang giat dijalankan.

Keduanya pihak pegawai tertinggi universiti sebagai contoh NC atau yang bersesuaian dengannya perlu mengadakan taklimat dan pendedahan mengenai proses pemilihan secara terbuka kepada mahasiswa, untuk memberi kefahahaman dan penjelasan kepada mahasiswa betapa peri pentingnya proses PRK ini. Sebagai contoh pendedehan ini boleh di buat secara kenyataan rasmi melalui rakaman video yang dimuat turun sendiri dalam uspot, poster dan sebarang medium yang sesuai berdasarkan keperluan semasa. Hal ini dirasakan amat perlu kerana sifat dan budaya mahasiswa UPM sendiri dilihat begitu tidak berminat dan cakna kepada isu-isu politik termasuklah dalam PRK sendiri dilihat pada tahap yang amat membimbangkan. Di samping pihak mahasiswa cuba untuk mengembalikan kesedaran tentang peri pentingnya akan PRK ini, usaha ini akan dilihat lebih bersepadu jika wujudnya gabungan yang berpadu antara mahasiswa dan pengurusan universiti.

Ketiganya, bersesuaian dengan tempoh berkempen yang bertambah panjang, ini sewajarnya membuka satu lembaran baru kepada calon pilihanraya untuk mereka berdebat tentang manifesto dan perjuangan mereka. Kaedah perlaksanaan adalah terpulang kepada JKP untuk melaksanakan debat secara individu mahupun berkelompok, pemilihan antara calon yang berdebat adalah secara rawak, sewajaranya adalah bersesuaian dengan kondisi semasa. Hal ini dilihat amat bersesuaian untuk terus menyuburkan budaya politik demokrasi yang sehat di samping para mahasiswa dapat menilai sendiri di manakah tahap pemimpin yang mereka pilih dalam menguji pemikiran mereka secara kreatif dan kritis dalam mendepani sesuatu masalah. Secara tidak langsung ini dapat memudahkan mahasiswa untuk mengenali siapakah calon yang bertanding sama ada diperingkat fakulti mahupun universiti.

Keempat adalah sewajarnya bila mana telah memasuki fasa berkempen, calon yang bertanding sewjaarnya adalah diberikan ruang yang luas dan bebas untuk mereka berkempen. Calon tidak perlu lagi perlu meminta kebenaran daripada pihak kolej mahupun fakulti untuk berkempen secara sah dan terbuka. Kebebasan untuk mereka berkempen adalah bebas dan luas selagi mana termasuk dalam ruang kawasan universiti meliputi di peringkat kolej kediaman mahupun fakulti.

Kenyataan rasmi Pro Mahasiswa UPM.

Advertisements