23 Mei 2012:- Debat antara YB Khairy Jamaluddin serta Rafizi Ramli telah mencetuskan fenomena politik yang segar di negara ini. Mengambil kesempatan ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah mengembangkan budaya politik positif di kalangan para ahli politik di negara ini.

Menilai respon positif yang diketengahkan masyarakat berhubung penganjuran debat ini, ABIM ingin menggesa debat antara dua tokoh politik utama negara YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak serta YB Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianjurkan sebelum PRU Ke-13 diadakan.

Penganjuran debat seperti ini amat penting untuk memberi peluang kepada kedua-dua peneraju politik utama negara ini untuk mengetengahkan dasar serta polisi mereka kepada umum. Ini sekaligus membuka ruang untuk rakyat menimbang tara hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh ini sebelum menetapkan pendirian atau pilihan pada PRU Ke-13 kelak.

Najib Penakut

Di samping itu juga, ABIM yakin menerusi saluran debat ini Y.A.B Dato Seri Najib Tun Razak boleh membersihkan imejnya yang dilihat sebagai “penakut” untuk berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang. Di samping itu juga, beliau juga boleh menggunakan peluang ini untuk, menjelaskan beberapa isu yang menjadi perbualan serta tanda tanya seperti kes pembunuhan Altantuya, kes pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di Perancis, dan pemborosan yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor.

Sekiranya debat antara Dato Seri Najib & Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini diadakan, ia sedikit sebanyak akan menganjak paradigma baru amalan demokrasi serta politik di negara ini.

Amalam Demokrasi Sihat

Sebarang penganjuran debat ataupun wacana seumpamanya seharusnya diraikan memandangkan ia adalah mekanisme pengurusan konflik yang berkesan. Ini memandangkan amalan demokrasi yang sihat dizahirkan menerusi wujudnya perbezaan pendapat yang ditangani secara matang dan harmonis yang sekaligus memangkin pembentukan masyarakat madani (civil society) sepertimana didambakan negara dan masyarakat di masa hadapan.

Advertisements