Jumaat lepas pada 3 Mac 2012 mahasiswa telah turun ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyerahkan memorandum menuntut pilihanraya kampus diadakan dengan lebih awal. Pada hari itu juga mahasiswa (saya turut bersama) telah memberikan ‘batu nisan’ sebagai satu simbolik matinya demokrasi kampus akibat pembunuhan yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Selang dua hari selepas itu, Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengeluarkan satu kenyataan balas berikutan insiden yang berlaku. Beliau telah mengatakan bahawa mahasiswa yang hadir pada hari itu tidak matang kerana memberikan batu nisan. Semalam beliau sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan PTPTN yang digesa oleh mahasiswa dan pembangkang agar dihapuskan atau dilupuskan.

Berdasarkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi rupanya boleh saya simpulkan bahawa beliaulah yang tidak matang, bukan mahasiswa. Kenyataan beliau mengatakan jika diberikan pendidikan percuma kepada rakyat maka IPTS terpaksa ditutup ini adalah salah kerana IPTS boleh dibiarkan terus beroperasi dan seperti biasa sesiapa yang mahu belajar di IPTS maka dia perlu membiayainya sendiri.

Soal IPTS perlu ditutup tidak perlu timbul sekiranya kerajaan menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat kerana yang diberikan percuma hanyalah IPTA. IPTA mempunyai tanda aras atau kelayakkan yang perlu dilepasi oleh setiap pelajar jika ingin menyambung pelajaran di dalamnya. Maka, secara logiknya pasti akan ada pelajar yang berjaya dan tidak berjaya melepasi kelayakkan tersebut.

Kepada pelajar yang berjaya melepasi , mereka berhak untuk mendapat tajaan dan pendidikan percuma. Kepada yang tidak berjaya mereka mempunyai pilihan lain untuk sambung di IPTS. Satu lagi pilihan untuk pelajar yang tidak berjaya adalah memasuki institusi pengajian awam yang lain seperti politeknik, kolej politech mara dan yang lain sewajibnya dengan percuma kerana dalam sesebuah negara pendidikan adalah merupakan hak asasi setiap daripada rakyat yang menjadi warganegaranya.

Isu ini juga bukan hanya hak asasi rakyat untuk mendapatkan pendidikan percuma tetapi isu ini juga berkaitan dengan integriti dan amanah kerajaan Malaysia iaitu Barisan Nasional yang telah melupuskan hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang merupakan bekas Pengerusi Majlis Penerbangan Malaysia sebanyak RM589 juta terhadap Pengurusuan Danaharta Nasional Bhd. Jika hutang kroni atau ‘sahabat karib’ boleh dilupuskan sebanyak RM589 juta untuk seorang, maka apakah tidak boleh kerajaan melupuskan hutang PTPTN yang berjumlah 4.7 bilion untuk 887, 995 orang yang jika dibahagikan hanya lebih kurang RM529, 283 untuk seorang.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa mahasiswa bukanlah bodoh dan tidak matang tetapi mahasiswa adalah merupakan golongan cerdik pandai yang bakal menjadi peneraju pimpinan negara pada masa depan. Saya juga ingin tegaskan bahawa sesiapa atau mana-mana pihak yang ingin memperkotak-katikkan mahasiswa dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah adalah merupakan pihak yang sebenarnya tidak matang. Saya tuntut agar PTPTN ini dihapuskan segera.

Tarmizi Bin Anuwar,
Pengerusi Pro Mahasiswa,
Universiti Putra Malaysia.

Advertisements